Thursday, August 19, 2010

Kenangan bersama Haji Baim bundle.


Bagi mereka yang menempuhi masa remaja dan muda pada lewat 80an dan awal 90an di Parit dan kawasan berhampirannya seperti Belanja, Layang Kiri, Layang Kanan... nama Haji Baim adalah satu nama yang tidak asing bagi mereka yang terjebak dengan fenomena Rock. Ini bukan disebabkan Haji Baim mempunyai studio jamming seperti Pak Syed Yusof Jamalullail (SYJ) tetapi disebabkan dia adalah tauke kedai bundle yang mashor dimana kedainya terletak betul-betul di tengah-tengah pekan Parit*.

Kedai bundle haji Baim mempunyai stok pakaian yang gila babi punya banyak. Aku masih ingat terdapat berlonggok-longgok jeans yang membukit** di dalam kedai tersebut. Kedai bundle itu besarnya seperti bangunan rumah kedai dua tingkat dimana di bahagian atas kedai dijadikan stor simpanan stok bundle yang belum dibuka. Mat rock kangkang kampung di sekitar Parit akan berkunjung ke kedai ini untuk mendapatkan jeans-jeans bundle yang berkualiti dengan harga yang murah (tidak seperti sekarang ini dimana ada pekedai bundle yang menjual jeans sehingga mencecah rm500 ringgit). Selain mat rock atau minah rock kampung, kedai ini juga menjadi tumpuan warga proletar Parit yang ingin membeli pakaian second hand yang berkualiti serta mampu dibeli. Terdapat pelbagai pakaian yang ditawarkan di kedai bundle Haji Baim ini iaitu dari pakaian lelaki, perempuan dan kanak-kanak serta macam jaket dan topi.

Dipendekkan cerita, dari bisnes bundle inilah Haji Baim mendapat nama jolokan Haji Baim Bundle. Mungkin aku sambung kisah kedai bundle Haji Baim ini di lain entri sebab tujuan entri kali ini adalah mahu menceritakan kisah Haji Baim yang bersifat lebih peribadi...

Bagi aku, Haji Baim adalah seorang tua yang cool... Dia cool sebab dia tidak kisah untuk ke dapur. Bagi Haji Baim,kerja memasak bukan kerja orang perempuan sahaja.Dia seorang patriak yang boleh berkompromi dengan perkara-perkara 'big no-no' kaum lelaki pada zamannya (soal ke dapur itu). Di waktu orang-orang tua kawasan Parlimen Parit seumurnya memilih nasi lemak, nasi putih berlauk ikan masin minyak, atau ubi kayu, Haji Baim memilih roti Sunshine bakar(jenama ini dah tidak jumpa di pasaran) yang disapu jem apricot, strawberry atau oren sebagai sarapan pagi. Waktu malam, Hajah Zawiyah wajib membancuh segelas susu Everyday hangat untuknya.

Pemilihan makanan yang kebaratan sebegini mungkin dipengaruhi persekitaran tempatnya bekerja mencari rezeki sewaktu muda dahulu iaitu di Singapura. Karier asal Haji Baim adalah sebagai seorang warder di penjara Changi dan bekerja dengan kerajaan orang putih disana (masa itu Singapura dan Malaya belum merdeka). Mungkin persekitaran moden Singapura telah mempengaruhi corak diet Haji Baim.

Haji Baim juga tidak lokek atau kedekut bila tiba bab makan (bab lain aku tak tahu). Dia gemar makan dan gemarkan makanan. Makanan kegemarannya pelbagai dari sefancy roti aiskrim yang dijual oleh Bhai aiskrim (roti aiskrim pertama dalam hidup aku dibeli olehnya) sehinggalah seeksotik sup kuda lumba. Sup kuda yang pertama kali aku rasa adalah sewaktu berbuka puasa dengannya kira-kira 17 tahun dahulu.

Aku sebenarnya tidak berapa rapat dan mesra dengan Haji Baim. Realitinya aku rasa Haji Baim tidak begitu ambil pot pasal aku. Kebanyakan masa bersamanya digunakan untuk mengutuk dan downkan aku. 'Bodoh' sudah menjadi nama timangan manja Haji Baim untuk aku. Aku tidak tahu kenapa dia bersikap begitu namun, sebagai kanak-kanak, aku tidak ambil pot langsung terhadap kutukan-kutukannya.

Ini adalah satu misteri. Kenapa dan mengapa dia tidak begitu sukakan aku susah untuk dijelaskan. Mungkin sebab aku bukan budak yang comel atau aku agak nakal atau memang dia memang tidak begitu sukakan aku disebabkan sebab yang tidak jelas. Contohnya kadangkala kita sendiri tidak tahu kenapa kita tidak begitu sukakan seseorang itu...yang pastinya kita tidak suka padanya disebabkan mungkin sebab rupa fizikal atau faktor-faktor lain.

Tetapi tidak pada adik aku, dia memang sangat sayangkan adik aku dan beberapa orang sepupu aku yang lain. Budak-budak itu sering dipujinya. Kalau pergi ke kedai bundlenya hampir confirm akan dapat topi atau jeans untuk dibawa balik. Kalau aku bukan nak kata dioffer, kalau aku mintak pun belum tentu dapat. Silap-silap kena maki.

Ada satu peristiwa yang tidak boleh aku lupakan adalah sewaktu dia meminta aku untuk membeli belacan. Pak Baim adalah pakar membuat sambal bachang. Sambal bachang ni adalah sambal belacan yang dicampur dengan buah bachang (atau kuinin). Ini adalah sambal bachang yang terpaling sedap di dunia yang aku tidak akan dapat makan lagi. Dia telah memberikan aku duit sebanyak 50 sen untuk aku beli belacan.

Aku terus ke kedai Ah Bee membeli belacan yang dipesannya dengan harga 40 sen (kalau tidak silap) dan mendapat baki 10sen dan terus pulang kerumah. Sewaktu aku sampai di rumah, Haji Baim telah menunggu di meja makan, dia sedang menumbuk cili menggunakan lesung batu, aku menghampirinya dan memberikan belacan yang aku beli bersama duit baki yang berjumlah 10 sen. Dia pandang muka aku kehairanan:

" Baki 10 sen ni pun kamu bagi balik kat aku"

Aku terdiam. Aku tidak tahu kenapa dia tanya begitu pada aku. Haji Baim menggeleng-geleng kepala sambil menumbuk sambal.

"Ini kalau Adli (adik aku) dia dah beli cekelat dah ni... Kau ni jangan jujur sangat, kalau jujur sangat nanti senang kena tipu."

Dia menumbuk sambal.Tidak berapa lama dia sambung kembali ayatnya...

" Kena pandai cari untung jugak, 10 sen ni patutnya kau ambil...kira upah kau...tengok macam Adli tu, pandai dia nak buat untung....tak payah lah kau pulangkan balik kat aku 10 sen ni... Ee bodoh betul..."

Itu lebih kurang ayat dia. Itu sebenarnya satu nasihat yang agak tidak bermoral dan beretika tetapi bila aku dewasa sekarang ini, di zaman anjing makan anjing begini,nasihat itu adalah satu nasihat paling 'cool' dari seorang tua untuk dijadikan pedoman. Aku secara peribadi terfikir akan rasional disebalik nasihatnya itu.

Selain sambal bachang yang terpaling sedap di dunia itu, ada satu lagi kenangan aku dan Haji Baim yang tidak dapat aku lupakan. Aku dan adik aku Adli kelaparan di rumahnya, pada masa itu Hajah Zawiyah tiada dirumah, aku tidak ingat kenapa dia tiada di rumah pada waktu itu, mungkin ikut rombongan marhaban ke kenduri. Haji Baim telah masakkan satu masakan yang sehingga ke hari ini aku tidak dapat lupakan.

Masakan itu adalah Maggie Kari... ya cuma maggi kari... tetapi itu adalah maggi kari yang terpaling sedap tahap kosmos pernah aku makan. Aku dan Adli berpeluang menemani Haji Baim memasak maggi tersebut, aku pada waktu itu berumur di lingkungan 11 tahun masih ingat setiap apa yang diletakkan di dalam maggie itu, iaitu bawang besar dan cili hidup yang ditumbuk (dengan menggunakan lesung) dan ditumis di dalam periuk, sehingga naik baunya barulah dituangkan air, kemudian dia masukkan 3 bungkus maggi, sayur sawi dan telur.

Di sini ada satu momen yang agak menarik iaitu apabila dia taruh kesemua ketiga-tiga perencah maggi tersebut ke dalam periuk. Ianya merupakan sesuatu yang berdosa bagi konteks penyediaan makanan famili aku. Ini adalah disebabkan urban legend yang mengaitkan perencah maggi dengan kebotakan kepala dan kanser. Biasanya mak aku akan taruh setengah sahaja dari isi kandungan perencah maggi tersebut manakala salah seorang makcik aku yang bekerja sebagai seorang aktivis Alam Sekitar dan Pengguna di Pulau Pinang memang membantah pemakanan tidak sihat ini... Tetapi sebagai seorang tua yang 'cool' Haji Baim menjawab sambil mengacau meggi di dalam periuk.

" Jangan ikut sangat dia orang tu...Maggi buat perencah ni nak bagi sedap, kalau tak taruh semua tak sedap lah...kalau tak sedap, baik tak payah makan" ( ayat ini dah diubah suai kekasarannya kerana sepatutnya ada perkataan 'bodoh' di dalam ayat di atas hahahaha)

Dia masak maggi itu agak lama dan sehingga kembang, kemudian dia masukkan tauge ke dalam maggie tersebut. Walaupun maggi tersebut kembang akibat dimasak terlalu lama tetapi kuahnya tetap ada.Dia masukkan kesemua maggi itu di dalam sebuah bekas plastik besar warna biru (yang biasanya digunakan oleh orang-orang Kedah untuk menghidangkan pulut)

maggi kembang tauge itu SANGAT SEDAP HINGGA MENJILAT KAKI. Aku tidak pasti samada aku lapar, atau maggi keluaran dahulu memang lebih sedap dari maggi yang ada sekarang ini (ini disebabkan ramai pendapat mengatakan maggi tidak sesedap dahulu). Maggi itu pedas sehingga berair hidung. Aku masih ingat aku, Adli dan Haji Baim makan sehingga tidak tinggal sedikit sisa langsung di dalam bekas plastik tersebut. Sambil makan, Haji Baim berceloteh tentang itu dan ini, yang diselang selikan dengan ayat-ayat membanggakan dirinya di atas kesedapan maggi yang sedap itu. Antara ayat-ayat yang keluar dari mulutnya sewaktu makan itu yang aku masih ingat adalah:

" Mak kau pun tak boleh masak maggi sedap macam ni..."

Hahaha...Akibat kegemarannya terhadap makan dan makanan, Haji Baim memang seorang yang sangat sukar untuk berpantang dan ini secara tidak langsung menjejaskan kesihatannya.

Antara makanan kegemarannya adalah gulai ikan masak asam iaitu sejenis gulai jernih yang seakan gulai singgang tetapi perbezaannya adalah gulai masak asam ini dicampur dengan sedikit serbuk kunyit untuk menjadikannya kekuningan dan asam keping serta serai lebih dominan berbanding lengkuas yang terdapat di dalam gulai singgang kelantan.

Menurut Hajah Zawiyah, gulai tersebut adalah antara makanan kegemarannya yang sering dipintanya di akhir-akhir hayatnya. Dia akan makan gulai tersebut sambil menghirup kuahnya. Pada bulan 7 tahun 1999, Haji Baim atau nama sebenarnya haji Ibrahim Bin Ahmad Sanusi telah menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumahnya. Dia merupakan datuk di sebelah ayah aku.

Walaupun hubungan aku dan datuk aku ini menjadi sangat renggang apabila aku meningkat remaja (ini mungkin kerana layanannya yang kurang mesra terhadap aku) dia adalah salah seorang ikon yang mencetuskan minat aku untuk ke dapur.

Roti aiskrim yang diperkenalkannya kepada aku masih lagi menjadi favourite aku. Sambal Banchang dan Maggi Kari buatannya akan terus aku ingati sampai bila-bila. Sehingga ke hari aku masih lagi mencuba untuk menghasilkan maggi kari sesedap itu tetapi tidak berhasil.

Aku tamatkan entri ini dengan Fatihah untuk ruhnya.




*Bangunan kedai bundle datuk aku ini masih ada di Pekan Parit. Ianya kini sudah menjadi sebuah klinik iaitu Klinik Jamal. Berhadapan kedai buku RS Adam.

**Pada masa kanak-kanak. Longgokan jeans ini aku lihat seperti sebuah bukit kecil kerana aku dan adik-beradikku boleh memanjat longgokan jeans ini yang aku anggarkan setinggi 8 hingga 9 kaki.


4 comments:

  1. sebab dia panggil kau bodoh,
    lihat apa dah jadi pada kau...

    adik kau pula apa cerita?

    p/s: entri kau mengingatkan aku kepada arwah datuk aku dan arnab goreng.

    ReplyDelete
  2. Sampai sekarang aku rasa aku tidak bijak mana...

    Adik aku sekarang berjaya menjadi seorang fisioterapi yang berjaya. Dia dengan aku bercita-cita nak buka production house. Kata arwah atuk aku itu betul, dia memang pandai bab-bab duit ini.

    Ya..ya...bila sebut pasal arnab. Orang tua tu pernah bela arnab kat bawah rumah...tapi aku tak pasti dia sembelih atau tidak arnab-arnab tu untuk dijadikan santapan hahahaha

    ReplyDelete
  3. Salam, good entry and very enjoyable. I can see Atok in Adli, dua-dua ada otak biznes. Atok wanted U to have a cunning brain like him, which Adli has. So bila dia compare Ayeh dgn Adli, nampak Ayeh kurang sikit tang tu. So jgn amik pot, maknanya dia sayang Ayeh. Atok otak dia advanced 50 tahun. Opah Parit merungut dia beli tanah bukit, tak berguna orang kata. Atok kata adalah nanti satu hari. Nah kau, skrng tiap2 tahun Opah dpt hasil dari jualan tanah bukit, dah berpuluh ribu RM!Masa ujung usia dia a bit grumpy coz dia terlantar dan tak boleh bergerak. Apa2 pun kita doakan arwah dicucuri Rahmat. Al-Fatihah. Thanx Ayeh!

    ReplyDelete
  4. P.S Arnab-arnab tu Cik Mama yg punya. Tak makanlah...banyak mati sakit atau kena cekau dik kucing! Pasal makan sup kuda tu memang Cik Mama hot, kita dah kenyang baru dia bgtau!

    ReplyDelete