Sayur Pak Choi sos tiram sangat mudah disediakan. Sayur Pak Choi itu tidak dipotong, cuma potong di bahagian bawahnya sahaja untuk memisahkan helaian daunnya. Helaian sayur itu dicelur di dalam rebusan air yang dicampur dengan sedikit garam dan kicap cair. Celur lebih kurang, jangan terlalu masak, angkat guna penyepit, toskan airnya dan susunkan helaian daun itu di atas pinggan. Selepas itu tuang kan sos tiram di atas sayur yang telah dicelur tadi.
Ini sebab aku malas. Kalau aku rajin sikit biasanya aku akan tumiskan dulu 3 ulas bawang putih di dalam kuali dengan sedikit minyak, selepas naik bau aku tuangkan sos tiram, dan kemudian campurkan sedikit air dan tepung jagung bagi kasi pekat. Masak untuk seminit dan dua dan curahkan sos tadi mengikut kreativiti di atas sayur yang dah dimasak.
Menu kedua ialah sup herba cina iaitu Sup ayam 4 herba (ada banyak jenis sup herba), aku cuma beli peket rempah yang dah siap dipeket, kat Shah Alam ni susah nak jumpa kedai sing seh. Kalau tidak, aku biasanya akan pergi ke kedai sing seh dan mintak dia herba untuk buat sup ni. Cara masaknya adalah masukkan kesemua herba tadi ke dalam 3 liter air yang sudah mendidih. Biarkan 3 hingga 5 minit, barulah masukkan ayam, ayam yang aku masak tadi di dalam anggaran 1 kilo. Kecilkan api dan biarkan ianya merenih sehingga daging empuk. Aku masak selama 4 jam ayam ni dengan api kecil. Memang mulanya nampak macam terlebih air, tapi bila lama-lama akan tersejat airnya. Sup ini aku campurkan dengan satu sudu garam, dan sedikit sos tiram.
Sup ini kena makan panas-panas, bila dah sejuk, rasanya agak pahit. Khasiatnya adalah untuk penghadaman (metabolisme). Betul atau tidak aku tidak tahu tapi aku memang layan sup ni. Sup ini dibuat adalah semata-mata untuk supnya, ayam hanya untuk menyedapkan sup tersebut. Lagi bagus kalau ianya ayam kampung. Kurang lemak, dagingnya lebih manis.
Menu di atas aku makan dengan nasi putih untuk berbuka. Diiringi sambal belacan. Makanan sihat memang tidak sedap. Tapi itulah galang gantinya, ubat kalau sedap bukanlah ubat.
Salam Ares, sedap sup kau ni Ris. Lain kali masak utk Cik Mama! Err bila nak update blog ni?
ReplyDelete