Friday, March 18, 2011

Sate di satu petang yang Hujan di Kg Kerinchi.


Hari ni sibuk sangat. Pagi-pagi hari lagi aku dah menghantar 'Y' ke RTM, kemudiannya pergi bawa Angelina a.k.a Myvi Along pergi servis, rabak nak dekat rm200 sebab tukar gear fluid sekali. Huh berpeluh dahi.

Keluar dari pusat servis, aku tengok Angelina comotlah ya amat. Aku berhenti di sebuah kedai cuci kereta untuk mandikan dia dulu. Basuh luar je, kena dalam RM6. Angelina yang kusam seperti seorang hot chicks baru bangun dari parti liar dan masih hang over telah bertukar wajah. Dah berkilat dan bersinar digang bang oleh macha-macha tempat cuci kereta itu tadi, baru lah 'cun' nak bawa meronda.

Kemudiannya balik rumah mandi kejap, bersiap, minum air jarang je, terus ke Bank Islam Shah Alam, untuk membayar yuran kolej yang tertunggak. Melayang lagi RM210. Berpeluh lagi dahi.

Dah terlanjur ke Bank Islam ni, aku terus buat kad bank baru sebab kad bank lama aku dah lama hilang. Tapi ini adalah satu keputusan yang silap, jenuh aku menunggu, orang bukan ramai sangat pun tapi servis Bank Islam ni lembab macam haram J. Aku buat kad Maybank yang gah seantero Malaya tu pun tak selembab ini, dekat 3 jam aku tunggu.

Dah la tak sempat nak kudap pagi tadi, masa makan tengah hari pun kena 'sailang' dengan Bank Islam ni. Kalau kat Jepun ni, aku rasa dah kena buang kerja mamat bank Islam berdua yang lembab ni. Baca paper Kosmo hari ni pun ada artikel pasal pegawai bank kat Jepun yang melutut minta maaf kat pelanggan sebab servis mereka tergendala.

Inilah bezanya sebuah negara maju dengan sebuah negara maju tapi berementaliti dunia ketiga lagi.

Menunggu dalam lapar memang sangat celaka. Sampai giliran aku, terkebil-kebil dua mamat tu kena 'bakar' dengan aku. Padan muka.

Selesai je hal di bank, jam dah menunjukkan pukul 4.30 petang. Keluar dari bangunan Bank Islam, hujan turun dengan lebatnya, aku telefon 'Y' , minta dia tunggu aku jemput dia di RTM. Kalau nak biar dia naik komuter, mahu pukul berapa baru dia sampai ke rumah dalam hujan-hujan macam ni.

Aku pun terus memecut dari Shah Alam ke RTM. Pecut sebab sudah pukul 4.30 dan dalam masa 30 minit lagi Lebuh Raya Persekutuan akan bertukar menjadi seperti artileri darah seorang penghidap sakit jantung yang tersumbat dengan kolesterol.

Aku berjaya, melepaskan diri dari kesesakan, Dan sewaktu melalui jalan Kg Kerinchi, aku terbau asap sate dari salah sebuah restoran di tepi jalan Kg Kerinchi yang sesak itu. Kebetulan di Kerinchi hujan dah 'soyat', aku buka tingkap untuk bernikotina, asap dengan garangnya menerjah masuk ke dalam kereta dari dapur sate di tepi jalan. Tengah lapar, bau sate ni memang sangat menarik-narik aku.

Sebaik sahaja 'Y' masuk ke dalam kereta, aku terus ke restoran tersebut.Ianya terletak betul-betul di tepi jalan, tetapi agak ke hujung jalan Kg Kerinchi tersebut. Sebelum selekoh ke RTM. Aku memesan sate ayam 10 cucuk dan sate kambing 10 cucuk. Ayam untuk 'Y' dan kambing untuk aku.

Satenya hurmm..bolehlah, tak la marvelous sangat, aku rasa macam tak cukup 'masa' perap, rasa rempahnya pun agak kurang. Agak kejung,pucat dan tidak bermaya, memberikan rasa kelemauan yang tidak dapat digambarkan. Tapi itu untu sate ayamlah.

Sebaliknya, sate kambing dia, agak sedap. kambing bagi aku memang selamanya lagi sedap dan tak membosankan seperti ayam. 2 ketul kecil daging kambing yang teksturnya sangat lembut dan seketul kecil lemak dicucuk dalam satu lidi. Dibakar tidak terlalu masak, maknanya daging kambing tersebut masih 'juicy' dan tidak terlalu kering sehingga menjadikannya liat.

Selain itu, aku suka atmosfera kedai-kedai tepi jalan di Kampung Kerinchi ini. Wakaupun kelihatan sesak, tetapi ianya menarik bagi aku. Dan mung
kin lebih tepat lagi persekitaran kampung Kerinchi ini adalah berjiwa 'working class'. Sentiasa sibuk dengan rutin 'Rat Race', dan menjadi destinasi bagi masyarakat kelas pekerja dan pertengahan untuk menjamu selera. Suasana ini amat happening bagi aku.

Sate ayam berharga 60 sen secucuk dan sate kambing 90 sen secucuk. Ok lah tu. Sedang sedap makan hujan kembali turun. Basah tapi Layan.






1 comment: